Punca Diri Pelajar
Sikap pelajar yang sukakan hiburan dan mudah terikut-ikut dengan gaya penampilan artis yang mereka minati, seperti memakai pakaian yang berjenama dan stail rambut yang baru, jika tiada wang yang mencukupi, mereka rela ponteng sekolah untuk bekerja demi mendapat wang. Begitu juga, apabila pelajar tidak berminat dalam sesuatu mata pelajaran dan guru pula tidak berusaha menarik minat meraka, pelajar-pelajar itu akan hilang semanagat belajar dan ponteng sekolah. (Azizi Yahya, Shahrin Hashim, Yusof Boon, How Lee Chan, 2007) Duke (1980), menyatakan bahawa tiap-tiap individu bertanggungjawab di atas perlakuannya sendiri. Pelajar berkemungkinan menjadi tidak berdisplin atau disebut juga sebagai kurang ajar‟kerana mengikut kehendak-kehendak diri mereka sendiri tanpa sebarang pengaruh dari luar; iatu apa yang dikatakan sebagai “the potential influence of the child free will”. Pelajar-pelajar ini mungkin juga melanggar peraturan yang biasa sama ada mereka berada di sekolah atau di mana-mana sahaja sewaktu berehat atau juga ketika sedang belajar, kerana mereka tidak menyedari atau anggapan mereka apa yang mereka lakukan tidaklah menyalahi peraturan. Kajian mendapati remaja yang terlibat dengan tingkah laku devian dan delinkuen mempunyai konsep kendiri yang rendah. Remaja ini melihat diri mereka dari perspektif yang negatif, penghargaan kendiri yang rendah, tidak mempunyai matlamat tertentu dalam kehidupan dan kurang memikirkan tentang sumbangan mereka kepada masyarakat (Byrne, et al., 1981). Manakala kajian oleh Wells (1989) pula mendapati remaja devian merasakan mereka dapat memperkembangkan konsep kendiri dan penghargaan kendiri dengan melibatkan diri dalam tingkah laku anti sosial dan delinkuen. Sebahagian remaja juga sangat suka menafikan bahawa mereka ada masalah, suka mengelak diri dari mengambil tangungjawab di atas tindakan mereka dan seterusnya suka menyalahkan orang lain apabila mereka mendapat kesusahan (Mitchell,1989). Emosi yang tidak stabil seperti marah, geram, tertekan dan dendam akan mendorong pelajar untuk melepaskan geram dan melakukan pelbagai tingkah laku devian, dengan tujuan untuk melepaskan rasa tertekan mereka. Tan Kui Ngor (2006), menegaskan individu yang mempunyai kemahuan tinggi untuk kejayaan adalah lebih berkesanggupan (bermotivasi) dalam menghadapi kerja-kerja bercorak cabaran yang boleh menguji keupayaannya. Tetapi bagi pelajar-pelajar yang gemar ponteng sekolah adalah sebaliknya. Mereka tidak mempunyai kemahuan yang tinggi untuk berjaya kerana mereka tidak yakin pada diri mereka yang mereka boleh berjaya seperti orang lain sekiranya mereka berusaha bersungguh-sungguh.
Punca Hubungan Keluarga
Punca Hubungan Keluarga Dari kajian Lepas Di Malaysia Dan Luar Negara
Kajian oleh Sham Sani Salleh (1994) menyatakan bahawa tingkah laku devian dan anti sosial seperti ponteng sekolah turut dikaitkan dengan tingkah laku dan struktur keluarga itu sendiri. Hal ini disahkan oleh Ismail Daros (1981), melalui dapatan kajiannya menunjukkan bahawa terdapat enam elemen berlakunya ponteng sekolah. Di antaranya ialah faktor keluarga. Menurutnya, kelemahan sosialisasi dalam keluarga dan tiada galakan daripada ibu bapa menyebabkan pelajar-pelajar tidak mempunyai semangat untuk belajar dan berasa bosan terhadap sekolah. Dapatan kajian oleh Bahagian Sekolah, Kementerian Pendidikan Malaysia (1993), merujuk punca salah laku di kalangan pelajar seperti ponteng disebabkan oleh pelbagai faktor. Faktor keluarga merupakan penyumbang tertinggi di mana kajian yang telah dijalankan pada tahun 1993, menunjukkan bahawa 81.03 peratus pelajar melakukan kesalahan kerana faktor kekeluargaan, 4.10 peratus disebabkan oleh rakan sebaya dan 1.24 peratus disebabkan oleh faktor persekolahan. Kajian-kajian yang telah dilakukan menunjukkan bahawa persekitaran keluarga memainkan peranan yang penting dalam proses pengsosialisasian remaja iaitu sikap, nilai dan sistem kepercayaan akan diterapkan ke dalam minda remaja. Selain itu, persekitaran keluarga juga menjadi medan kepada proses perkembangan emosi, kognitif dan sosial setiap ahli di dalamnya. Mengikut Renfrew (1997), keluarga telah membentuk personaliti seseorang sejak kecil dan terus memberikan pengaruh yang amat besar kepada tingkah laku, sikap dan pemikiran seseorang dalam alam dewasa. Manakala di Jerman , pelajar yang kerap kali tidak hadir ke sekolah tanpa sebarang alasan yang sah atau benar akan diambil perhatian oleh pihak sekolah. Jikalau ibu bapa menolak untuk menghantar ke sekolah atau tidak mampu mengawal anakanak mereka daripada terjebak dengan masalah ponteng sekolah, perkhidmatan tempatan kanak-kanak atau perkhidmatan sosial akan berperanan untuk meminta pihak polis menghantar pelajar-pelajar yang tanpa penjagaan baik dari ibu bapa mereka ke sekolah. Kegagalan ibu bapa dalam mendisiplinkan anak-anak juga dilihat sebagai salah satu faktor berlakunya tingkah laku devian seperti ponteng dan salah laku. Latar belakang tingkah laku anti sosial adalah kesan daripada kekurangan, ketidaksesuaian atau kawalan disiplin yang tidak konsisten semasa kanak-kanak (Jacobvitz et al., 1996). Kebanyakan tingkah laku antisosial remaja juga berpunca daripada kegagalan cara gaya keibubapaan dan pengurusan keluarga (Jacobvitz et al., 1996). Penyelidik berpendapat bahawa usaha ke arah pemantapan institusi kekeluargaan dipercayai merupakan salah satu jalan penyelesaian kepada pelbagai masalah di kalangan remaja masa kini. Kebanyakan masalah yang dialami oleh remaja kini sebahagian besarnya bertitik - tolak dari institusi keluarga remaja itu sendiri di mana kepincangan yang wujud dari institusi keluarga akan membawa kepada pelbagai kesan negatif terhadap remaja tersebut. Kajian – kajian yang telah dibuat menunjukkan bahawa remaja bermasalah kebanyakannya adalah berlatar belakangkan keluarga yang bermasalah (Dishion et al., 1991).
Punca Rakan Sebaya
Kajian Wan Norasiah (2003) mendapati bahawa pengaruh rakan sebaya adalah juga antara faktor gejala sosial pelajar. Beliau menghubungkan kaitan antara faktor ibu bapa dan rakan sebaya dalam mencetus dan menyemarakkan gejala sosial pelajar. Beliau menjelaskan ajakan dan pujukan rakan untuk melakukan gejala sosial menyebabkan pelajar terjebak dalam salah laku seperti ponteng sekolah dan gangsterisme. Ini kerana rakan sebaya adalah individu yang paling hampir dengan remaja selepas keluarga. Menurut kajian yang dilakukan oleh Mustaza Abu Amin (1994), mendapati bahawa 13.3% pelajar yang ponteng sekolah atau kelas akan bersama-sama rakan dan berada di tempat yang sunyi seperti belukar, rumah kosong dan sebagainya untuk mengelak daripada dilihat oleh orang ramai yang akan melaporkan kepada sekolah atau polis. Faktor persekitaran seperti pergaulan dengan ibu bapa, rakan sebaya dan kumpulan masyarakat amat mempengaruhi pertumbuhan dan perkembangan rernaja. Zuriani (1988), pula mendapati masalah yang dihadapi oleh remaja akan menyebabkan remaja berada dalam ketegangan dan kebimbangan, keadaan ini boleh membawa kepada berlakunya perlakuan mengasingkan diri, melanggar peraturan, kenakalan dan masalah tingkah laku yang lain. Remaja mempunyai sikap yang terlalu egoistik, menganggap diri mereka sebagai tumpuan seluruh dunia dan sebagai satu-satunya tumpuan minat. Mereka mementingkan diri sendiri dan bersifat kebendaan di samping emosi yang sering kali berubah-ubah antara riang dan sedih. Menurut kajian Merton (1938), zaman remaja merupakan peringkat umur yang penuh dengan cabaran. Pendapat ini dikukuhkan lagi dengan kajian Erikson (1965), peringkat umur remaja ialah peringkat membentuk indentiti sendiri seperti tingkah laku, memilih rakan sebaya, cara berpakaian dan lain-lain. Jika peringkat ini gagal diperoleh, pelajar tersebut akan tertekan dan cenderung untuk melanggar displin sekolah seperti ponteng sekolah.
Punca Sikap Guru
Punca Sikap Guru Dari Kajian Lepas Di Malaysia dan Luar Negara
Laporan keciciran Kementerian Pelajaran Malaysia (1973) menyatakan bahawa prestasi akademik yang rendah mempunyai kaitan dengan masalah ponteng. Laporan itu juga menyatakan bahawa guru juga boleh mempengaruhi tingkah laku ponteng melalui proses pengajaran dan pembelajaran. Oleh itu, cara dan gaya pengajaran guru perlu diambil perhatian kerana ia dapat menarik minat pelajar untuk belajar dan tidak ponteng kelas dan ia juga dapat mendatangkan rasa bosan dan benci pelajar sekaligus menyebabkan mereka ponteng kelas. Di dalam kajian yang dilakukan oleh Abd. Karim Desa (1994), beliau menyatakan bahawa guru mempunyai peranan yang penting dalam menarik minat pelajar dengan cara mempelbagaikan kaedah pengajaran. Di dalam kajiannya, beliau mendapati bahawa pelajar tidak akan ponteng kelas kerana guru mempelbagaikan kaedah semasa mengajar iatu dengan peratusan sekitar 90%. Ini membuktikan bahawa guru berperanan besar dalam menangani masalah ponteng di kalangan anak didiknya. Jaafar (1977), dalam kajiannya telah menyatakan dapatan kajian yang dibuat oleh Pejabat Pelajaran Daerah kepada lima buah sekolah di Kuala Lumpur, 18 buah sekolah di Klang, 10 buah sekolah di Petaling Jaya dan 12 buah sekolah di Wilayah Persekutuan. Kajian mendapati bahawa sikap guru yang terlalu garang akan menganggu konsep kendiri yang mengakibatkan pelajar berasa takut kepada guru dan menyebabkan mereka ponteng sekolah. Menurut pendapat Smink dan Reimer (2005), isi mata pelajaran yang tidak berkaitan atau kurang rangsangan, kerja sekolah yang kurang mencabar dan hubungan yang rapuh antara guru dan pelajar merupakan faktor yang berkait rapat dengan jumlah kehadiran. Situasi ini perlu di ubah oleh guru dalam menarik minat pelajar untuk menghadirkan diri ke sekolah atau belajar. Menurut Olweus (1978), guru yang memalukan pelajar, menyindir, dan mengejek, adalah faktor utama pelajar ponteng. Kesan perbuatan ini menyebabkan pelajar kurang keyakinan diri dan hilang rasa hormat kepada guru mereka. Polit et. al. (2001), dalam kajiannya mendapati bahawa kesan kekecewaan pelajar terhadap pelajaran telah mengakibatkan mereka benci terhadap guruguru dan program sekolah. Pelajar ini akan mencari jalan keluar dengan melakukan ponteng sekolah.
Punca Prasarana Sekolah
Punca Prasarana Sekolah Dari Kajian Lepas Di Malaysia Dan Luar Negara
Melalui kajian yang dilakukan oleh Kerlinger (1986) di dalam Jaafar (1977), telah menyatakan bahawa prasarana fizikal yang ada di sekolah membantu mewujudkan masalah disiplin di kalangan pelajar termasuk masalah ponteng. Menurut Azizah (2002), pembinaan fizikal dan alam sekitar sekolah yang menarik dan kondusif, boleh membantu kehadiran pelajar ke sekolah. Untuk tujuan itu, pembangunan terhadap kemudahan-kemudahan sekolah yang berhubung kait dengan kepentingan pendidikan dan perkembangannya perlu dilaksanakan dengan sedaya upaya bagi mengatasi masalah ponteng. Selain itu, faktor sekolah juga menjadi salah satu penyebab kepadapermasalahan ponteng dan mengganggu suasana pembelajaran. Mengikut Merton (1938), pembelajaran yang berkesan datangnya dari suasana sekolah yang tenteram, kerana ketenteraman itu amat kritikal bagi melahirkan pencapaian yang baik di kalangan pelajar. Kewujudan suasana sekolah yang positif dari segi kemudahan sekolah, pengajaran guru, kedudukan sekolah dari aspek pengangkutan pelajar dan perlaksanaan disiplin yang efektif menjamin pembelajaran yang berkesan dan mengurangkan kes-kes salah laku pelajar. Menurut kajian Manivannan (2002), 49% mengatakan suasana sekolah itu sendiri (peraturan yang ketat, ketidakmesraan guru-guru dengan pelajar, beban kerja yang banyak, dan rasa bosan terhadap pengajaran guru dan menjemukan) menggalakkan tindakan ponteng. Menurut Kerlinger (1986), di dalam kajian Muhamad Razi Yakub (1994), telah terbukti bahawa keberkesanan pengajaran dan pembelajaran melalui kegiatan latihan amali di makmal dan bengkel tidak akan diperolehi sekiranya kemudahan dan kelengkapannya tidak mencukupi atau terlalu usang, kekurangan guru dan penyelia juga penyumbang kepada ketidak keberkesanan pengajaran dan pembelajaran di dalam sesebuah kelas. Mankala menurut Bandura & Mischel (1986), saiz sekolah, bangsa dan perubahan etnik dan peraturan persekitaran sekolah memberi kesan ke atas tingkah laku pelajar.
Teori Pembelajaran
Dalam kajian ini penyelidik memilih teori pembelajaran sosial oleh Albert Bandura (1977), sebagai model kajian kerana teori ini melihat masalah ponteng sebagai tingkah laku yang dipelajari dan bukannya satu tingkah laku yang wujud secara semula jadi dalam diri individu. Oleh itu pendekatan teori pembelajaran sosial adalah sesuai pada pandangan penyelidik untuk melihat dan menganalisis masalah ponteng di kalangan pelajar sekolah rendah. Menurut Bandura (1977), terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi tingkah laku pelajar remaja, iaitu kelakuan pelajar itu sendiri, pengaruh persekitaran dan interaksi kognitif. Pendekatan teori pembelajaran sosial juga menekankan kepentingan penilaian kognitif dan emosi. Teori ini memperlihatkan pengaruh-pengaruh sedar dan penentu-penentu sosial ke atas personaliti. Di samping itu, penyelidik juga menggunakan teori pembelajaran sosial sebagai model kajian kerana teori ini menekankan peranan model dalam mempengaruhi tingkah laku seseorang. Menurut Bandura (1977), latihan pemerhatian atau modeling adalah amat penting dalam pembentukan tingkah laku agresif. Jika dikaitkan dengan teori pembelajaran sosial, apa yang dilakukan oleh anak-anak merupakan hasil dari pemerhatian dan peniruan daripada ibu bapanya. Penyelidik juga memilih teori ini kerana dalam teori pembelajaran sosial menekankan aspek interaksi antara manusia dan sekitaran (Bandura,1977). Beliau menyarankan konsep „determinisme timbal balik‟ yang mengatakan bahawa manusia mempengaruhi untung nasib dirinya melalui pengawalan kuasa-kuasa di sekitarnya tetapi mereka juga dipengaruhi oleh kuasa-kuasa sekitaran ini. Keadaan ini merupakan satu proses interaktif, saling berkaitan dan timbal balik antara tingkah laku manusia, sekitaran dannproses dalaman seperti kognisi dan persepsi. Ini bermakna manusia dapat mengawal kehendak dan tingkah laku, sementara sekitaran pula dapat mengawal serta mempengaruhi apa yang dilakukan oleh individu. Teori pembelajaran sosial yang diaplikasikan oleh Bandura (1973) juga merumuskan bahawa perkara utama yang sering dipelajari oleh kanakkanak dan remaja ialah melalui pemerhatian terhadap tingkah laku orang lain, khususnya orang yang signifikan dengan mereka. Oleh itu, individu akan mempelajari dan melakukan tingkah laku devian sama ada secara langsang atau tidak langsung melalui peniruan tingkah laku ibu bapa mereka. Ingatan ini kemudiannya disimpan di dalam kognitif secara kekal dan remaja akan sukar untuk mengelakkan diri dari bertingkah laku devian dalam kehidupan mereka. Penggunaan Teori Pembelajaran Sosial diyakini sesuai oleh penyelidik kerana teori ini mengambil kira peranan kognitif dalam pembentukan tingkah laku seseorang pelajar. Teori Pembelajaran Sosial merupakan gabungan teori pengukuhan (rangsangan dan tindak balas) dan teori kognitif. Teori Pembelajaran Sosial menjelaskan bahawa tingkah laku manusia akibat daripada pengaruh interaksi antara kognitif, persekitaran dan perlakuan manusia lain.
No comments:
Post a Comment